Tuesday, October 21, 2008

PEMBENTUKAN KELUARGA MUSLIM

Asas -Asas Pembentukan Keluarga Muslim

Salah satu aspek penting dalam persiapan untuk melalui hidup secara Islam adalah membina keluarga kita supaya menjadi keluarga muslim. Rumah tangga yang mempunyai ciri-ciri keIslaman yang sebenarnya sahaja boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan tarbawi (bercirikan tarbiyyah Islam) yang akan menjuruskan kepada kasih sayang, hormat menghormati serta perlaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman. Artikel ini cuba membentangkan persoalan rumah tangga Islam dan kedudukannya dalam pembentukan generasi anak kita yang mampu menghayati Islam secara slalui kehidupan mereka sepertimana yang Allah SWT kehendaki dan seterusnya memikul tanggungjawab Islam dengan menumpukan perbincangan kepada beberapa aspek komunikasi dalam rumah tangga tersebut.

Apa yang dimaksudkan dengan keluarga muslim adalah keluarga yang mendasarkan segala aktivitinya pada pembentukan keluarga yang sesuai dengan syari`at Islam. Berdasarkan al Qur`an dan As Sunnah, terdapat beberapa tujuan terpenting pembentukan rumah tangga muslim ini, iaitu:

(a) mendirikan syari`at Allah dalam segala permasalahan rumah tangga;

(b) mengwujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan ruh;

(c) mengwujudkan Sunnah RasuluLlah SAW dengan melahirkan anak-anak soleh sehingga umat manusia merasa bangga akan kehadiran kita;

(d) memenuhi keperluan cinta kasih anak-anak, dan ketidakseimbangan atau ketandusan cinta kasih ini akan menyebabkan penyimpang akhlaq dan perilaku;

Di dalam persoalan perkahwinan dan seterusnya pembentukan keluarga muslim ini, Islam tidak menyempitkan perkahwinan itu hanya untuk mendapatkan anak-anak soleh, walaupun ini adalah salah satu tujuan utama; atau untuk mengekang pandangan dan menjaga kemaluan, walaupun ini juga salah satu matlamat perkahwinan; dan bukan juga bertujuan untuk menyalurkan nafsu secara syar'ie sahaja; tetapi Islam telah menentukan matlamat yang lebih tinggi; lebih mulia dan lebih jauh jangkauannya. Ianya berkait rapat dengan matlamat kemasyarakatan, pembangunan umat, serta perlaksanaan amal Islam yang luas.

Walaupun antara matlamat terpenting dalam pembentukan keluarga muslim ini adalah untuk menyediakan suasana dan persekitaran yang subur untuk mendidik anak-anak tetapi Islam telah menentukan bahawa perlanjutan zuriat itu yang utamanya adalah bermatlamatkan da'wah dan jihad

No comments: