Monday, October 20, 2008

NEGARA ISLAM

KONSEP NEGARA ISLAM

Persoalan apakah itu negara Islam dan mengapa perlunya negara Islam menjadi topik perbincangn yang hangat di kalangan masyarakat dari pihak pemerintah sehingga rakyat jelata, dari parlimen sehinggalah di kedai-kedai kopi. Persoalan ini menjadi semakin rumit apabila ia dijadikan bahan untuk meraih keuntungan kelompok dan kepentingan parti politik. Masing-masing mendakwa ingin melaksanakan negara Islam ala masing-masing sementara orang bukan Islam dihantui pula dengan inggaun yng mengatakan negara Islam akan menyekat kebebasan, menyebabkan mereka menjadi warganegara kelas kedua dan autoriti undang-undang hanya terletak pada ulamak atau mullah sahaja..Salah erti tentang negara Islam perlu diperbetulkan dengan penuh amanah ilmu dan dakwah yang jauh dari sentimen politik semata-mata atau untuk meraih satu undi sedangkan kita mengadaikan maruah dan menyebabkan Islam ditohmah dengan tohmahan yang sewenang-wenangnya akibat dari percakapan dan perbuatan kita yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, dalam konteks zaman moden ini para sarjana muslim perlu merangka semula konsep negara Islam moden yang selaras dengan zaman kini kerana agama Islam tidak meletakkan format yang tetap dalam melaksanakan perkara tersebut. Ia terpulang kepada keperluan dan kebijaksanaan masyarakat tersebut menjalankan pemerintahan asalkan ia melaksanakan prinsip-prinsip asas sebagai sebuah negara yang adil dan makmur. Yusuf al-Qaradawi mengingatkan umat Islam supaya berusaha meluruskan kefahaman, pemikiran, hukum-hukum dan kaedah-kaedah terutama dalam fiqh politik yang tidak dibahas secara mendalam pada masa yang lalu seperti kedudukan wanita dalam urusan politik umat, pilihanraya, kemajmukan parti politik dan isu menghadkan masa kepimpinan.

Islam merupakan agama yang meliputi segala dimensi kehidupan manusia. Syariat Islam mempunyai peraturan kehidupan manusia dan membawa keadilan kepada alam sejagat. Pembinaan negara adalah merupakan “dharurat ijtima’iyy” (keperluan masyarakat) kerana manusia memerlukan ketua untuk memimpin mereka. Keperluan manusia kepada pemerintahan menyamai keperluan terhadap perkara-perkara asas yang lain seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manusia ialah makhluk yang memerlukan interaksi, kerjasama, tolong menolong dan memenuhi keperluan hidup. Ia termasuk dalam perkara fardu kifayah. Kepentingan tentang pembentukan negara Islam berkaitan rapat dengan pelaksanaan shariat kerana shariat itu tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kekuasaan politik. Tuntutan pelaksanaan shariat ini adalah wajib ke atas individu Muslim maka mewujudkan pemerintahan Islam juga adalah wajib.
Manusia memerlukan kepada pemerintahan atau hidup bernegara kerana mereka perlu melaksanakan menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran, mewujudkan keamanan dan keselamatan. Perkara ini tidak dapat dilaksanakan tanpa ada pemerintahan. Pemerintahan yang paling adil adalah pemerintahan Islam.

Definisi Negara Islam

Para fuqaha tidak sependapat dalam memberi definisi yang tepat dalam menentukan negara Islam atau negara musuh. Perbezaan ini berlaku hasil daripada perbincangan ulamak mengenai persoalan negara Islam itu berdasarkan kepada kedaulat.an undang-undang atau berasaskan penduduk orang Islam.

Dar al-Islam (Negara Islam) iaitu negara yang melaksanakan undang-undang Islam dan kekuasaan milik orang Islam. Ia juga membawa erti wilayah yang bebas dan selamat bagi orang Islam. Dar al-Harb iaitu kawasan-kawasan bukan Islam yang bermusuhan dengan kaum muslimin dan merbahaya bagi kebebasan dan keselamatan umat Islam. Ia juga membawa erti negara yang menjalankan hukum bukan Islam dan kekuasaan milik orang kafir. Menurut Abu Yusuf bahawa negara Islam ialah negara yang menjalankan hukum Islam walaupun dalam negara ada orang bukan Islam dan diktibarkan sebagai negara harb jika undang-undang bukan Islam dijalankan walaupun yang menetap di dalam negara tersebut orang Islam. Sementara al-Rafi’i dalam kitab Fath al-Aziz mengatakan tidak disyaratkan negara Islam itu majoriti penduduknya Islam tetapi memadai kekuasaan dipegang oleh orang Islam. Suatu negara dipandang sebagai negara Islam apabila dipimpin oleh seorang muslim. Pendapatnya ini didasarkan pada kenyataan yang pernah berkembang pada masanya, dimana seorang pemimpin berpengaruh dan menentukan keputusan-keputusan politik negara tersebut. Seorang pemimpin muslim yang memiliki komitmen kepada ajaran Islam tentu berusaha menjalankan nilai-nilai agama di dalam negara yang dipimpinnya.

Abdul Karim Zaidan dalam Majmu’ah Buhuth Fiqhiah mengatakan bahawa negara Islam itu ialah sebuah negara ideologi yang ditegakkan atas asas akidah Islam. Dengan akidah inilah lahirnya pelbagai ide, peraturan dan hukumnya. Lantaran itu, ia bukanlah sebuah negara yang terikat dengan sesuatu iklim atau rupa bangsa. Keadaan ini melayakkannya menjadi sebuah negara antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kabilah dan kepada setiap manusia yang ingin berlindung dibawah ideologi dan peraturan-peraturannya.

Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Qur’an (Dibawah Naungan al-Quran) ketika membicarakan persoalan ini dengan berkata bahawa negara Islam meliputi negara yang menjalankan undang-undang Islam serta berhukum dengan syariat Islam sama ada penduduknya semua muslim atau muslim dengan ahli zimmah. Al-Kasani menyebutkan negara Islam itu ialah negara yang menjalankan undang-undang Islam. Beliau mengatakan bahawa tiada berselisih di kalangan para sahabat kami bahawa negara harb akan menjadi negara Islam apabila ia menjalankan undang-undang Islam. Berkata Ibn Qaiyim bahawa kebanyakan ulamak menyatakan bahawa negara Islam ialah negara yang diduduki oleh kaum muslimin dan menjalankan undang-undang Islam, jika tidak menjalankan undang-undang Islam maka bukanlah ia negara Islam. Fuqaha telah bersepakat menyatakan negara Islam itu mestilah wujud kekuasaan politik pemerintahan ditangan orang Islam. Tidak mungkin orang bukan Islam hendak menjalankan undang-undang Islam walaupun ia membenarkan syiar Islam dijalankan.

Mawdudi mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah SWT yang menentukan syariat, dan syariat itu dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia sebuah negara yang bercorak theodemocracy yang tergabung di dalamnya autoriti mutlak pada Allah dan penyerahan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam perlaksanaan urusan negara yang diakui oleh syarak. Beliau juga menghuraikan prinsip-prinsip pemerintahan Islam seperti berikut:

1. Puncak segala kekuasaan adalah Allah yang Maha Berkuasa. Tidak seseorang pun di dalam sesuatu negara yang mengatasi undang--undang yang digubal.

2. Allah adalah pemberi hukum dalam erti kata yang sebenar. Padanya terletak kekuasaan mutlak mengadakan undang-undang.

3. Pembentukan negara Islam mestilah diasaskan kepada undang-undang ciptaan Allah yang disampaikan oleh Allah melalui rasul-Nya. Justeru itu, Pemerintahan Islam wajib melaksanakan undang-undang Islam.

Maksud negara Islam menurut al-Mawdudi ialah negara yang dibentuk dengan berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah yang disampaikan oleh Allah melalui Rasulullah s.a.w. Kedua-dua sumber itu tadi berfungsi sebagai pembimbmg negara yang dapat memberikan keadilan kepada rakyat

Matlamat Negara Islam

Di antara matlamat negara Islam ialah:

1. Melaksanakan undang-undang Islam di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 36 yang bermaksud:

“Maka demi tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihan, kemudian mereka tiada merasa keberatan dalam diri mereka terhadap apa yang telah kamu putuskan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Pelaksanaan hukum Islam tidak dapat dijalankan kecualilah terdirinya negara Islam. Ibn Taimiyah menyatakan: “Mendirikan negara adalah kewajipan manusia yang besar terhadap agama malah tidak dapat ditegakkan agama melainkan dengannya kerana Allah mewajibkan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan segala kewajipan berkaitan jihad, menegakkan keadilan dan melaksanakan hukum-hukum Islam tidak akan sempurna kecuali dengan adanya kekuasaan (kekuatan) dan negara.”

2. Mcndirikan syiar Islam dalam masyarakat tersebut seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain seperti firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 41.

3. Membawa keadilan kepada seluruh manusia dan alam sejagat. Pemerintahan negara Islam merupakan pemerintahan yang adil, tiada mengira bangsa serta warna kulit, kescmua tertakiuk kepada undang-undang Islam dan tiada yang dapat mengatasi dan undang-undang. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Demi jiwa Muhammad di dalamnya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong tangannya.”

4. Melahirkan masyarakat penyayang dan bersaudara. Masyarakat ini sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama mereka, jauh dari perkelahian, hasad dengki dan dendam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Antara orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, mereka menguatkan antara satu sama lain.”

5. Mengembangkan agama Islam kepada seluruh manusia dan berjihad mempertahankan Islam dari ancaman dalaman dan luaran.

No comments: