Thursday, July 16, 2009

MANEK URAI: PERLU DIMUHASABAH DAN DIJADIKAN IKTIBAR KEPADA SEMUA PENDOKONG & PENYOKONG PAS


Peristiwa Uhud , Hunain

dan Manek Urai

(Ustz. Nasarudin Tantawi KP PAS Pusat)

1. Majoriti kecil yang dicapai oleh PAS dalam pilihanraya kecil Manek Urai tentu sahaja mengundang pelbagai reaksi dan komentar . Bagi pihak UMNO dan BN tentu sahaja mereka gembira kerana berjaya mengurangkan majoriti undi PAS .

2. Bagi PAS tentu sahaja pimpinan tertinggi khasnya Jabatan Pilihanraya PAS Pusat dan Negeri akan mengadakan bedah siasat [ post mortem ] untuk melihat faktor sebenar penurunan ketara undi majoriti yang pernah diperolehi oleh PAS sebelum ini . Saya yakin ia akan dilakukan secara telus dan jujur untuk melihat senario yang benar dan tepat ekoran keputusan pilihanraya kecil manek urai yang sangat ajaib [ pinjam istilah Dr. Abu Hassan ]

3. Saya tidak berhak untuk mengganggu atau mendahului keputusan post mortem tersebut . Sama - sama lah kita tunggu dan lihat kelak apakah faktor sebenar yang membentuk keputusan Pilihanraya kecil Manek Urai tersebut . Cuma saya ingin menyentuh beberapa perkara sebagai iktibar umum kita bersama dan harapnya dibaca sekali dengan Risalah dan Iktibar dari Hunain yang dipostkan pada bulan february yang lalu .

4. Menang kalah dalam pertarungan dan perjuangan tentunya mempunyai iktibar yang perlu diteliti , demikian juga menang besar atau kecil skalanya mempunyai hikmah yang perlu dihayati . ianya menjadi proses muhasabah yang diajar oleh agama kepada kita . Namun jiwa mesti tenang , aqal wajarnya rasional dan niat layaknya tulus dalam mengamati iktibar dan menekuni hikmah . Jika tidak , segalanya berlalu tanpa nilai .

5. Marilah kita baca sekali lagi ayat dari surah at Taubah ini dan kalau boleh ambil sedikit masa untuk meneliti sejarah panjang dan cukup menginsafkan bagaimana perjalanan kisah Hunain daripada buku - buku atau kitab sirah lalu dipadankan dengan ayat ini :

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ

فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Sesungguhnya Allah swt telah menolong kamu dalam banyak medan peperangan dan hari peperangan Hunain ketika kamu dijangkiti penyakit ujub [ kagum diri / rasa diri hebat ] dengan sebab ramainya jumlah bilangan bala tentera kamu , maka ia ia sebenarnya tidak boleh mendatangkan apa - apa faedah [ keistemewaan/kemenangan ] kepada kamu di medan perang itu sehingga bumi yang luas dirasakan sempit oleh kamu kemudian kamu berpaling undur melarikan diri .


ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا

وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

Kemudian Allah swt menurunkan semangat ketenangan ke atas RasulNya dan ke atas orang - orang yang beriman dan Allah swt menurunkan bala tentera yang tidak dapat kamu melihatnya serta ia menyeksa orang - orang yang kufur dan demikian itulah balasan bagi orang - orang yang kufur .


ثُمَّ يَتُوبُ اللَّهُ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Kemudian Allah swt menerima taubat orang - orang yang Dia kehendaki [ memberi hidayah memeluk Islam ] sesudah itu dan Allah swt Maha pengampun lagi maha Penyayang .

Surah at Taubah : Ayat : 25 - 27

6. Ayat ini menceritakan kisah Hunain . Pada prinsipnya ciri - ciri yang terdapat pada Hunain sama dengan peperangan Uhud . Perbezaan antara keduanya ialah cara pendekatan salah yang dilakukan pada kedua - duanya . Peristiwa Uhud kerana terpengaruh dengan harta benda rampasan yang berselerak ditinggalkan oleh musuh di awal pertempuran . Akhirnya mereka tidak patuh perintah Rasulullah saw dan sedikit pertelagahan berlaku sesama tentera dan jentera . Adapun Peristiwa Hunain pula berpunca daripada bermegah dengan jumlah yang ramai dan kekuatan yang dimiliki .

7. Kedua - dua peristiwa tersebut memberi pengajaran yang pahit kepada generasi awal Islam . Sementara kita generasi mutaakhir ini sewajarnya mempelajari risalah dan menghayati iktibar dari pengalaman silam . Betapa harta dan kemenangan sering mendorong kita alpa dan teruja dengan pencapaian lalu meletakkan kita di awangan .

8. Setelah kita membaca pula Peristiwa Manek Urai , marilah kita segera insaf dan berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan thabat [ teguh pendirian dalam perjuangan ] kepada kita sementara dibekalkan pula kekuatan dan pedoman untuk keluar dari belenggu kealpaan yang melilit tubuh dan menjerut leher kita .

9. Ya Allah ! kami yakin akan kebesaranMu sebagaimana kami juga yakin bahawa kemenangan adalah dari kurniaanMu . Keputusan MU [ Manek Urai ] turut menginsafkan kami bahawa kemenangan Islam bukan bergantung semata - mata kepada strategi kami tetapi jua dari pertolonganMu sebagaimana firman dari surah at taubah ayat 25 - 27 .

Ya Allah ! Kemenangan Islam bukan dari sesiapa dan bukan juga dari barakah atau karamah sesiapa , justeru itu Saiyidina Umar al Khattab rha. menamatkan tempoh perkhidmatan Khalid al Walid di medan perang selaku komander kerana mahu memastikan aqidah para sahabat benar dan sohih bahawa menang kerana pertolongan Allah swt bukan menang kerana kehebatan Khalid al Walid .

Ya Allah ! Kami yakin kemenangan Islam hanya berpaksi kepada keutuhan berjamaah dan keintiman berikhuwwah justeru firmanMu bahawa PertolonganMu turun bersama jamaah yang utuh dan mantap .

Ya Allah ! Kami juga yakin bahawa kemenangan dan pertolonganMu hanya berhak dimiliki oleh pejuang yang merendah diri , hampir mengabdi diri kepada mu , bebas dari pra sangka yang membusuk di dada , jauh pula dari sikap dendam kesumat yang membinasakan .

Ya Allah ! kami yakin bahawa kemenangan tegak di atas segala sifat mahmudah sebaliknya mazmumah akan merosakkan segalanya .

Ya Allah ! keputusan MU [ Manek Urai ] menunjukkan masih tersimpan rasa kasih dan sayangMu buat kami yang alpa . Semoga Engkau pulihkan semula keyakinan kami dan kembalikan kekuatan kami buat mendepani segala cabaran demi mendaulatkan agamaMu ya Allah !

KITA TAK MENANG SEMUA

Di Manek Urai, saya katakan bahawa Pas menang di atas kertas. Dan, izinkan saya untuk berkata, Pas tewas dari sudut-sudut tertentu. Walau pun secara rasminya, yang diambil kira ialah keputusan di atas kertas, namun sebagai gerakan Islam kemenangan di atas kertas sahaja tidak memadai.

Apabila saya kata Pas tewas dari sudut-sudut tertentu, bukan bermakna Umno menang dari sudut yang Pas kalah itu, tidak. Di Manek Urai, Umno tewas di atas kertas dan tewas juga dari semua sudut. Malah, dimana-mana pun, walau pun Umno menang, mereka tetap kalah dari sudut-sudut lainnya.

Mengapa saya berani berkata Pas kalah dalam beberapa sudut di Manek Urai?

Saya sayangkan Pas dan saya tidak mahu Pas kalah dari sudut mana pun. Sebab itu, apabila Pas menang di Manek Urai saya suka, tapi dalam masa yang sama banyak sangat perkara yang menyesak dan mengasak benak saya, sehingga saya berani menyimpul, Pas kalah dalam banyak sudut.

Saya tidak suka menyebut secara khusus sudut-sudut itu bimbang disalah tafsirkan. Namun, sesiapa yang berada di Manek Urai dan terlibat secara aktif, mereka akan terhidu beberapa sudut yang boleh dikatakan sebagai ‘Pas kalah’ dari sudut itu.

Untuk menggambarkan sudut-sudut kekalahan itu, izinkan saya mengungkapkannya dalam bentuk pertanyaan untuk menjadi renungan.

  • Adakah benar kita menyertai PRK Manek Urai dalam suasana kasih-sayang dan ikatan persaudaraan berasaskan jamaah teruji dan longgar?
  • Mengapa ada yang boleh turun dan ada yang tidak, ada poster yang boleh terpamer dan ada yang tidak?
  • Benarkah ada pihak yang mengambil kesempatan gelanggang terbuka ini untuk menuding jari dan menjeling tajam kepada orang-orang tertentu?
  • Mengapa dibiarkan ahli-ahli gelisah dan resah dengan pelbagai soalan yang sukar dijawab?
  • Betulkah mereka yang berada di luar Pas yang bersedia membantu kita, turut merasa rimas dan lemas dengan kerenah sesama kita?
  • Benarkah ada orang yang merasa dirinya bijak dan hebat sehingga menafikan kebolehan dan keupayaan orang lain?

Cukup sekadar itu.

Bagi saya, itulah sudut-sudut yang kita kalah. Saya tidak bermaksud Umno menang dari semua sudut itu, tidak. Dan, Pas tidak kalah dalam sudut-sudut itu kepada Umno.

Kalau begitu, Pas kalah kepada siapa?

Bagi saya, dalam sudut-sudut tadi Pas kalah kepada kepentingan-kepentingan, desakan-desakan, asakan-asakan dari dalam diri pendokongnya sendiri.

Apa desakan, asakan dan kepentingan itu? Saya ada jawapannya tetapi saya tidak sampai hati untuk menyebutnya di sini.

Manek Urai: Tak Terlalu Manis, Tak Terla...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azzawajalla PAS dan Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Manek Urai. Terdapat terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil iktibar, dan kejadian ini sememangnya banyak kebaikan dan hikmat khususnya dalam usaha kita mentadbir negara di peringkat pusat.

1. Pengarah Pilihanraya PAS;

Tindakan sdr. Abdul Fatah Harun selaku Pengarah Jentera Pilihanraya jelas mencerminkan kekurangan pengalaman kerana memberikan isyarat kepada media berkenaan kemenangan 'lebih 2000 undi' walaupun tidak dapat dibuktikan. Ini mencerminkan perjalanan pengurusan kempen yang dibuat dengan perasaan 'PAS sudah pasti menang'. Sekiranya PAS kalah, bagaimana mungkin dapat kita memperbetulkannya?

2. Perbalahan yang berterusan sama ada dalaman mahupun antara komponen PR;

Isu Timbalan Presiden PAS dan TG Nik Aziz, TG Hadi Awang dan Husam Musa, tidak dilupakan 'sengketa' antara ahli PR di Selangor dan Pulau Pinang, menjejaskan semangat petugas dan peraih undi. Ia tidak menjejaskan pengundi, tetapi rakyat kurang menerima perayu undi yang dapat dilihat semangat mereka lemah dan tidak bermaya. Isu Kg Buah Pala di Pulau Pinang dan boikot Hindraf sedikit sebanyak mempengaruhi.

3. 'Adaabul Ikhtilaaf' atau kaedah menegur sesama pimpinan PR secara terpuji;

Sehingga kini, Pakatan Rakyat masih gagal membuktikan bahawa 'keterbukaan' dalam pimpinan berbanding sifat 'yes man' boleh diterima rakyat sebagai sesuatu yang positif. Setiap ucapan, kritikan dan masalah komunikasi yang melanda dilabel sebagai 'skandal, boikot dan tanda perpecahan'. Kemungkinan bagi pimpinan itu sendiri perkara ini tidak begitu besar, tetapi kesannya kepada keyakinan rakyat tidak dapat dinafikan. After all, "politics is based on perception, not actual truths - Amir Hamzah Amha, 2009"

4. Jambatan yang tidak berupaya dibina selama 19 tahun PAS memerintah.

Sememangnya isu jambatan yang menghubungkan kawasan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru sememangnya suatu yang sensitif. 5 unit peti undi di DUN Manek Urai mengaku bahawa 'umpan jambatan BN' sememangnya menggiurkan walaupun ia jelas lagi bersuluh suatu rasuah politik. Kegagalan semua pihak agar melihat perkara ini sebagai punca utama kemenangan PAS yang sedikit ini akan menyebabkan analisa post-mortem yang salah. Bagi UMNO ia akan menjadi asas yang memakan diri sekiranya mereka menjangka UMNO sudah mula diterima rakyat, dan kepada PAS pula, kemungkinan besar PAS akan kecundang kerana jambatan baru tidak dibina walaupun sudah 19 tahun berada di bawah PAS kecuali seketika pada 2004.

Secara keseluruhannya, PAS menang sikit sebab 'Getok', bukan sebab UMNO semakin kuat. Calon profesional? saya rasa rakyat menyampah tengok calon-calon UMNO yang gemuk-gemuk nak dibandingkan pengundi yang kais pagi makan pagi, kais petang makan esok

Keangkuhan Meruntuh Jamaah

Pelbagai analisis dibuat dengan menyalahkan orang. Tetapi kita lupa yang MUHASABAH merupakan suatu senjata yang dapat menguatkan jamaah semula.

Selepas PRU12 kita angkuh dan mendabik dada. Kita (PAS), sudah berehat menikmati kemenangan yang tidak seberapa serta mungkin ujian ALLAH.

Jangan terlalu angkuh dengan apa yang ada. Adakah PAS sudah menang jika kita masih tidak dapat mengungguli Pakatan Rakyat? kita PAS masih menjadi pelengkap kepada Pakatan Rakyat. jangan terlalu angkuh.. Banyak isu yang timbul hasil dari kelemahan kita yang tidak dapat mengawal Pakatan Rakyat. Islam kena memerintah bukan diperintah.. ingat lagi kata-kata itu??

kita PAS berpecah dengan matlamat mengejar kemenangan bukan keredhaan. Adakah Pakatan Menang dan memerintah PAS jugak punya suara ISLAM yang kuat? perkara ini sangat merisaukan kita. Lihat saja sekarang ini apa yang terjadi.

UMNO akan mengambil kesempatan atas kelemahan kita untuk menonjolkan diri sebagai Parti yang dapat mengambil alih tugas UMNO yang gagal. lihat saja Keangkuhan kita dengan meluaskan jurang perpecahan antara kita dengan mengenepikan Wala' pada pimpinan. mengingkirkan rakan sejemaah, seruan Pas For All serta mengambil bukan Islam sebagai Ahli.

inilah dakwah kita. mereka yang merasakan PAS mampu memerintah secara islam sepatutnya di dakwah untuk terus masuk Islam bukan membuka ruang untuk mereka terus kafir.

Ingat yang perlembagaan kita tak merubah Seruan kita walalu apa slogan yang kita laungkan seruan kita Parti Islam SeMalaysia adalah ALLAHUAKBAR!!! mana pergi seruan kita?

adakah Makkal Sakhti seruan kita? Ku rindukan Roh Perjuangan semasa Allahyarham Ust Fadzil menerajui kepimpinan Ulamak..... walaupun kemenangan dunia kita tak dapat tetapi kemenangan Disisi Allah milik kita.